" a life is a journey..."

" a life is a journey..."

Monday, May 23, 2011

RAHSIA LELAKI

-->
RAHSIA LELAKI
( dipetik daripada Akhbar Mingguan Malaysia, 2000) 


Pokok Bunga Abah, Tanah Merah.Kelantan ( 2000) 


Ramai wanita tidak tahu sepenuhnya tentang lelaki. Mereka kadang kala buat sesuatu perkara yang lelaki tidak suka. Sehingga boleh menyebabkan kesedihan berlaku.
Di sini, saya ingin berkongsi dengan para wanita sekalian, apa yang anda perlu tahu tentang lelaki.
  • Lelaki juga boleh menjadi seseorang yang begitu sensitif dan mengambil berat (prihatin)

  • Jika seseorang lelaki meminati wanita, wanita itu tidak semestinya cantik. Cukup dengan budi bahasa dan kesopanan yang tinggi. Malah lelaki boleh menyukai wanita yang mempunyai banyak persamaan dengannya samada dari segi pemikiran atau minat. Oleh itu, banyak yang boleh dibualkan atau dikongsi bersama.

  • Kebanyakan masa, lelaki sebenarnya tidak mengetahui perasaan sebenar yang dirasakan oleh seorang wanita.

  • Lelaki boleh menerima penolakan dengan baik.

  • Lelaki cuba menonjolkan sikap kelakiannya untuk menambat hati wanita.

  • Lelaki memang dilahirkan dengan perasaan yang kuat terhadap wanita. Sebab itu mereka suka melihat wanita, menjeling wanita dan menonton Baywatch! Atau mencuci mata di tepi pantai atau swimming pool.

  • Kebanyakan lelaki resah bila berhadapan dengan situasi ingin mengajak wanita keluar untuk kali pertama!

  • Lelaki cuba meniru gaya selebriti atau berlagak macho hanya kerana ingin memikat hati wanita.

  • Bila lelaki cakap..”Emm..tengoklah dulu”..itu seringkali bermaksud dia berkata tidak atau kurang setuju.

  • Bila lelaki cakap direct to the point dalam sesuatu hal, dia sebenarnya ingin bersikap jujur dan berterus-terang dan mengharapkan wanita memahami maksudnya.

  • Kebanyakan lelaki yang nampak ‘desperate’, datang dari sekolah all boys!

  • Adalah biasa lelaki cemburu terutamanya apabila perempuan asyik menyebut nama lelaki lain.

  • Lelaki tidak boleh belajar kesemuanya pasal perempuan dari library atau buku semata-mata. Oleh itu mereka selalu keliru dengan sikap perempuan dan tidak faham kenapa perempuan bersikap begitu begini. Kadang-kadang lelaki perlu mengetahui lebih mendalam tentang bagaimana berhadapan dengan perempuan supaya hubungan dapat berjalan dgn lebih baik.

  • Betapa hebatnya lelaki itu bersikap romeo dan ‘flirting’ dengan ramai wanita, dia tetap hanya ada seorang teman wanita yg istimewa, yang lain hanya kawan..:)

  • Bila lelaki tertengok dada wanita dan wanita itu menyedari…maafkan saja. Kebanyakan lelaki tidak sengaja….Mereka merasakan kejadian wanita itu begitu indah!

  • Bila sesuatu hubungan putus di tengah jalan, lelaki juga rasa bersedih. Cuma dia tak menunjukkannya kesedihannya di depan orang.

  • Bila seorang perempuan meminati seorang lelaki, perempuan itu patut bagi hint! Mana tau lelaki itu juga menaruh minat. Senang usahanya nanti. :d

  • Adalah memalukan bagi lelaki jika tak berupaya menolong wanita.

  • Kebanyakan lelaki cukup lemah dengan air mata perempuan. Mereka lebih tewas sekiranya air mata itu mengalir dari perempuan yg dikasihi. Sebab itu dikatakan air mata senjata perempuan.

  • Lelaki bukanlah sempurna 100%, walau bagaimanapun rupanya atau pandangan luarannya. Jadi, perempuan janganlah mengharapkan semua yang hebat dari lelaki! Mereka juga normal dan mempunyai kelemahan!

  • Lelaki yang sejati bukanlah dilihat dari bahunya yang kekar, tetapi dari kasih sayangnya pada orang disekitarnya…

  • Lelaki yang sejati bukanlah dilihat dari suaranya yang lantang, tetapi dari kelembutannya mengatakan kebenaran…

  • Lelaki yang sejati bukanlah dilihat dari jumlah sahabat di sekitarnya, tetapi dari sikap bersahabatnya pada generasi muda bangsa…

  • Lelaki yang sejati bukanlah dilihat dari bagaimana dia di hormati ditempat bekerja, tetapi bagaimana dia dihormati didalam rumah…

  • Lelaki yang sejati bukanlah dilihat dari kerasnya pukulan, tetapi dari sikap bijaknya memahami persoalan…

  • Lelaki yang sejati bukanlah dilihat dari dadanya yang bidang, tetapi dari hati yang ada disebalik itu…

  • Lelaki yang sejati bukanlah dilihat dari banyaknya wanita yang memuja, tetapi komitmennya terhadap wanita yang dicintainya…

  • Lelaki yang sejati bukanlah dilihat dari jumlah tanggungjawab yang dibebankan, tetapi dari tabahnya dia menghadapi lika-liku kehidupan…

  • Lelaki yang sejati bukanlah dilihat dari rajinnya membaca kitab suci, tetapi dari konsistennya dia menjalankan apa yang ia baca…

Sabar itu iman…
Duit bukan kawan…
Dunia hanya pinjaman…
Mati tak berteman…

ADAM DAN HAWA

-->



MOHD FAEZRUL ( 2015)


Kamu adam
Dan aku hawa
Diketemukan dibumi
Sejarah bercerita
Kita pasangan abadi
Sekian lama

Kamu adam
Dan aku hawa
Dua jasad
Satu cinta
Berbunga bahagia
Selamanya.

Kamu adam dan aku hawa
Di utus ke bumi
Membawa cinta
Namun mengapa kini
Anak-anak  kita
Saling bersengketa?

Hidup dan kehidupan

Hidup ini
Ternyata lebih payah
Dari igauan
Lebih susah
Dari mimpi-mimpi siang
Lebih kejam
Dari angan-angan

Hidup adalah kenyataan
Yang terlalu banyak
menginginkan perhatian,
Meminta kesungguhan
Menagih kasih sayang
Untuk kebahagiaan di hari mendatang







KETIKA CINTA BERTASBIH ( INDONESIA)

-->

BATU LAYAR, JOHOR BAHRU 2015


Cinta adalah kekuatan
Yang mampu mengubah duri jadi mawar
Mengubah cuka jadi anggur
Mengubah sedih jadi riang
Mengubah amarah jadi ramah
Mengubah musibah jadi muhibbah

Sekalipun cinta telah ku uraikan
Dan ku jelaskan  dengan panjang lebar
Namun jika cinta kudatangani
Aku jadi malu
Pada keteranganku sendiri

Meskipun lidahku mampu menguraikan
Namun tanpa lidah
cinta ternyata lebih terang
Sementara pena begitu tergesa-gesa menuliskan
Kata-kata pecah berkeping-keping
Begitu sampai kepada cinta
Dalam menghuraikan cinta
Akal terbaring tidak berdaya
Bagaikan keldai terbaring dalam Lumpur
Cinta sendirilah yang menerangkan cinta
Apa adanya


( MOVIE KETIKA CINTA BERTASBIH, INDONESIA) 

JANJI SATU SYAWAL



k. yah Jali, jiran  (banjir besar dec 2015)



Oleh: Penatimur


ESOK sudah masuk satu Ramadhan. Ini bermakna dia akan kembali berpuasa untuk kesekian kalinya. Dia kan orang islam. Ustazah di sekolah pun turut menyuruhnya berpuasa. Kata ustazah Fazilah, setiap orang islam yang beriman diwajibkan untuk berpuasa. Begitu juga dia. Biarpun umurnya masih muda, tapi sekurang-kurangnya dia belajar untuk berpuasa. Sebab, kata ibu, itu tuntutan agama. Harus buat. Tidak boleh kalau tidak buat. Berdosa, masuk neraka. Lagipula bila abah balik hari raya nanti, dia boleh bangga-banggakan dirinya di depan abah. Akan diberitahu abahnya kuat-kuat, “Lina puasa penuh abah!” Mesti abah akan gembira mendengarkannya dan pasti juga abah akan tunaikan janjinya.

Tapi esok, dia akan tetap berpuasa tanpa kehadiran abah seperti dua tahun yang lalu juga. Tanpa abah, sudah pasti tiada kuih-muih dan lauk-pauk yang enak di waktu berbuka. Sudah dua tahun dia dan ibu berbuka dan beraya dalam keadaan begitu. Lagipula, dia ingin menagih janjinya dengan abah. Tapi, sehingga sekarang dia langsung tidak ketahuan punca di mana abah. Dua tahun! Ke mana agaknya abah?

Di kaki tangga, dia mengerling melihat ibu yang sedang terbongkok-bongkok mengutip kelapa tua di pinggir pagar rumah. Dia mengeluh. Pasti buah kelapa itu ibu ingin membuat kuih untuk jualan di bazaar ramadhan nanti. Dia menarik nafas. Seakan cuba melepaskan beban yang bersarang di hatinya. Namun, ternyata semuanya sia-sia. Beban itu masih tersangkut di dada. Berat dan menyakitkan. Hatinya merintih melihat ibu begitu. Nanti ibu letih lagi. Nanti ibu pengsan lagi. Tapi, ibu ini degil orangnya. Biar sudah berbuih mulut opah menasihati ibu, tapi ibu tetap begitu juga. Ke hulu hilir, tanpa mengenal penat lelah. Kalau ibu berehat pun, bila waktu lewat-lewat malam. Itupun, selepas ibu siap melipat pakaian ataupun membuat kuih yang ditempah orang, barulah dia melihat ibu akan memasuki kamar dan menelentangkan dirinya. Entah bila masanya ibu larut dalam mimpi-mimpinya sendiri, dia tidak tahu kerana selalunya dia terlebih dulu mengulit mimpi-mimpi dari ibu.

Ibu, sejak ditinggalkan abah, begitulah dia. Pagi-pagi, ibu akan berkejar ke rumah Puan Kamsiah untuk mengambil upah mencuci pakaian mereka. Pernah juga dia menyuruh ibu supaya jangan membuat kerja-kerja itu, tapi ibu buat-buat pekak. Dia sebenarnya bukan apa, malu apabila sering ditertawakan oleh Laila, teman sekelasnya. Kata Laila, ibunya bekerja sebagai orang gaji dirumahnya. Tukang cuci baju, Tukang cuci tandas. Tukang cuci pinggan mangkuk. Laila seringkali mengejek-ngejeknya di hadapan Pain dan Pijek. Sekali dua, dia boleh buat-buat pekak, tapi lama-lama terasa berdesing juga. Ingin rasanya, dia tarik tocang Laila biar Laila meraung kesakitan. Biar terbayar rasa sakitnya melihat Laila menangis. Tapi entah mengapa, setiap kali hasutan begitu datang menyucuk hati kecilnya, dia pasti akan teringat pesan abah, “ Lina jadi budak baik ya. Jangan gaduh dengan kawan. Jangan derhaka dengan mak. Baru abah sayang…” Tiba-tiba dia jadi lemah. Dia jadi pendiam. Dia jadi pasif.

Selalunya bila dia diejek Laila, Pain yang selalu membelanya. Bila Laila kata;

“Mak Lina tu jadi orang gaji di rumah aku. Dia orang miskin. Selalu tidak ada duit. Nak makan pun, mama aku yang bagi…” Pain lantas menempelak, “Mama engkau orang baik, engkau orang jahat!’ Kemudian Pain, kawan-kawan dan dia pakat ketawa kuat-kuat biar Laila sakit hati. Sehari dua, Laila menjauhkan diri darinya. Kemudian, dia mendekat dan mengejek lagi. Mengata lagi. Lama-lama dia sudah lali dengan kata-kata Laila. Dia buat-buat tidak dengar apabila Laila memburuk-burukkan ibunya. Dia tidak boleh bergaduh dengan Laila sebab kata ibunya, “ Lina harus jadi budak yang baik, baru abah akan sayang. Bila abah sayang, nanti abah akan tunaikan apa yang Lina mahukan!”

Tapi sudah dua kali hari raya, abah tak balik. Abah ke mana? Sudah naik jenuh dia bertanya ibu, tapi jawapan ibu selalunya sama sahaja, Abah pergi kerja. Nanti abah baliklah! Dia pun lama-lama dah naik cemuh dengan kata-kata ibu. Abah kerja di mana? Abah kerja apa sehingga empat kali raya tak balik-balik?

Tahun ini dia harap sangat abah balik. Janjinya sudah dua tahun tertangguh. Dia ingin abah tunaikan janjinya. Sebab itu, dia harus puasa penuh. Nanti kalau tak puasa, abah marah. Bila abah marah, pasti abah tak tunaikan janjinya. Abah juga pasti tidak akan sayang padanya lagi. Ibu dan opah juga.

Sepanjang bulan Ramadhan itu, sedaya upaya dia berusaha untuk berpuasa penuh. Malam-malam, dia akan dikejutkan ibunya untuk bangun bersahur. Biarpun dalam mamai, dalam mengantuk, dia suapkan juga nasi dan lauk telur masin yang disediakan ibunya ke mulut. Kalau tidak, nanti esoknya dia lapar. Dia tidak ingin ponteng puasa. Di sekolah, Pain dan Pijek juga berpuasa. Ramai kawan-kawannya yang turut berpuasa. Cuma Laila sahaja yang kadang-kadang ponteng puasa. Laila akan makan Ais Krim, keropok, dan biskut di hadapannya. Bila dia tanya kenapa Laila tak puasa, Laila akan jawab, “ Aku punya sukalah. Aku ada duit. Aku boleh beli makanan banyak. Tak macam engkau. Tak ada duit nak beli keropok, sebab tu engkau puasa!” Saat itu memang dia sakit hati. Tapi kata ibu, bulan puasa dia tidak boleh marah-marah. Nanti batal puasa. Tak dapat pahala. Akhirnya dia diam sahaja. Dia tidak ingin hilang pahala puasa gara-gara Laila.

Di waktu petang pula, dia akan menolong ibunya di bazaar Ramadhan menjual kuih-muih. Biarpun dia letih, tetapi dia gembira. Sebab, ibu telah berjanji kepadanya. Kalau ibu dapat duit banyak, ibu akan membelikan bunga api untuknya. Dia suka main bunga api. Setiap kali hari raya tiba, ibu pasti akan membelikannya bunga api dan dia akan main bersama Pain dan Pijek di halaman rumah. Malah, kalau ada abah, dia lagi gembira. Abah selalu menemaninya bermain bunga api. Mereka akan berlari-larian di halaman sambil bergelak ketawa dan bergurau senda.

Kali ini dia mesti dapatkan bunga api banyak-banyak. Bukankah abah nak balik? Dia akan ajak abahnya main bunga api sepuas hatinya. Sudah lama dia tidak bermain kejar-mengejar dengan abah di malam raya. Sudah lama juga dia tidak mendengar ibunya membebel memarahi dirinya kerana selalu meminta abah mendukungnya. Sungguh! Dia rindukan itu semua. Dan dia pasti, hari raya kali ini, pasti abah akan tunaikan semua keinginan itu bersamanya!

Malamnya pula selepas berbuka puasa, dia akan mengikuti ibu dan opahnya ke surau. Kata ibu, di bulan ramadhan, dia harus bersembahyang terawih untuk dapatkan lebih banyak pahala. Nanti senang masuk syurga. Dia angguk sahaja. Di saf belakang ibunya, sedaya upaya dia cuba mengikut gerak laku sembahyang seperti yang dilakukan oleh ibu dan opahnya. Bila ibu rukuk, dia rukuk. Bila opah sujud, dia sujud. Untung sahaja, di sekolah dia belajar bacaan sembahyang dengan Ustazah Fazilah. Sekurang-kurangnya dia tidak menipu tuhan dengan membaca bacaan yang bukan-bukan dalam sembahyang.

Pagi raya, dia bangun awal. Dia ingin tunggu abah balik. Hari ini, mesti abah balik. Bukankah abah sudah janji ingin balik? Selepas mandi, dia bersiap-siap. Baju baru yang dijahit ibunya dipakai bangga. Nanti apabila abah melihatnya, abah akan kata;

“Lina cantik…,” dan dia akan tersenyum gembira. Sudah lama, dia tidak mendengar abah mengatakannya drinya cantik. Dia akan menayangkan kasut dan beg sandangnya yang baru juga. Semuanya itu opah yang belikan. Kata opah, itu upah kerana dia rajin puasa, rajin sembahyang. Dia senyum senang. Abah, bila abah akan pulang?

Masuk tengahari, wajah abah masih belum kelihatan. Dia sudah letih menunggu di kaki tangga. Dari pagi, dia bertenggek di situ, menanti abah. Sampaikan bila Pain, Pijek , dan Hafiz datang mengajaknya beraya ke rumah jiran-jiran, dia buat endah tidak endah. Dia ingin menunggu abah. Dia takut bila abah balik, dia tidak ada di rumah. Nanti abah lupakan janjinya. Lagi pula, banyak hal yang ingin dia ceritakan dengan abah. Abah pun mesti ada banyak perkara yang ingin ditanyakan kepadanya. “Lina puasa penuh tak? Dia pasti angguk. “ Lina jadi budak baik tak?” Dia pasti akan kata ya! Ibu kata dia budak baik. Opah juga. Di rumah, dia bantu ibu, dia tolong opah. Di sekolah, dia tidak pernah bergaduh dengan kawan-kawan. Tidak pernah tarik tocang Laila walaupun macam-macam Laila katakan kepadanya. Memang dia nak jadi budak yang baik. Untuk abah, ibu dan opah.

Akhirnya dia mengalah. Itupun setelah berkali-kali dipujuk ibu dan opah. Kata ibu; “Lina harus sabar. Nanti abah pulang. tapi bukan sekarang….” perlahan-lahan dia menapak ke dalam rumah. Duduk di kerusi, bersandar lemah. Saat itu, dirasakan semangatnya bagaikan mati. Dia sedih. Tahun ini abah mungkir janjinya lagi. Abah tipu! Abah bohong! rajuknya dalam diam. Dalam dia melayan-layan emosinya itu, entah bila masanya dia terlena diulit kesedihan.

Petang itu, tidurnya dikejutkan seseorang. Sewaktu dia membuka mata, dia melihat sebuah patung teddy bear sedang tersenyum kepadanya. Patung itu besar, sebesar dirinya. Kemudian, perlahan-lahan teddy bear itu dialihkan, dia nampak wajah abah tersenyum kepadanya. Mengantuknya tiba-tiba hilang. Secepat kilat, dia bangun dan mendakap tubuh abahnya. Senyumnya lebar, hatinya berbunga riang. Dia gembira bagaikan terbang di awangan!

IBU DAN MERDEKA

PENA TIMUR
IBU DAN MERDEKA

telah diterbitkan: 
Antologi Cerpen " ANUGERAH", JULAI 2016

( Cetakan Pertama: Julai 2016)

Cerpen




Ibu dan Merdeka
oleh: Penatimur




DARI tadi, dia cuma termanggu-manggu. Fikirannya buntu. Di sebelah kanan dan kirinya, rakan-rakan sudah lama menundukkan kepala menuliskan sesuatu. Tapi kertas di atas mejanya tetap kosong. Masih putih, tidak terconteng walau secalit noda pensel. Dia betul-betul bingung. Tidak tahu bagaimanakah jawapan yang harus diberikan kepada gurunya itu harus bermula.

Sepuluh minit berlalu, dia masih begitu juga. Tajuk yang tertera di papan hitam itu terasa begitu mendera perasaannya. Haruskah dia berterus terang? Atau mengelak seperti selalunya. Tetapi bila difikir-fikir, tiada salahnya jika kebenaran itu diketahui semua orang. Biarlah ibunya pernah melarang. Biarlah ayahnya pernah memberinya amaran. Dia sudah tidak kisah. Dia ingin menulisnya sekadar meluahkan rasa yang sekian lama terpendam. Akhirnya, kertas putih itu tercela jua. Mata pensel kian rancak menari mengikut kata hatinya. Dia menulis tanpa rasa berdosa. Begitu banyak curahan hatinya. Biarlah segala beban itu diceritakannya. Sudah lama kedukaan itu dipendamkannya. Hari ini, biarlah segalanya itu terluah jua.

Setelah satu jam akhirnya kertas itu diserahkan kepada gurunya. Terasa ringan bebannya. Dia sudah tidak kisah dengan reaksi gurunya nanti. Barangkali saja, gurunya akan menyangka itu semua cerita rekayasanya sahaja. Dia tidak peduli. Baginya, kisah itu adalah kisah nyata hidupnya. Kisah yang sehari-hari ditentangi dan dihadapinya. Penuh luka dan duka.

“ Engkau tulis apa tadi, zim?” Afrul, temannya disebelah bertanya seusai sahaja kertas bertulisan tangan itu dipungut guru kelasnya. Dia tersenyum cuma. Dia menulis sesuai tajuknya. ‘ CERITAKAN TENTANG KELUARGA KAMU.” Soalan yang dibaca dan ditulis di papan hitam oleh gurunya.

Memang dia menulis tentang keluarganya. Tetapi lebih banyak tentang ibunya. Setelah sekian lama dia tidak berani bercerita dan meluahkan kepada sesiapa. Hari ini, dia seakan membuka pekung di dada. Dia bercerita tentang kedukaan dan kesengsaraannya. Tentang keluarganya. Keluarga yang telah lama mati kebahagiaannya. Tentang kehancuran impian ibunya. Tentang kerakusan bapanya yang siang malam tidak mengenal dosa dan derita yang ditanggungnya.

“ Minggu depan kan cuti, hari merdeka. Jom kita tengok perarakan!” Sewaktu pulang hari itu, Afrul mengajaknya. Dia menggelengkan kepala. Iya, bulan ini adalah bulan merdeka. Malah sepanjang jalan pulang dari sekolah hari itu, dia melihat begitu banyak bendera negaranya yang digantung dan terbuai indah takkala disentuh bayu. Begitu menyamankan mata. Saat itu, tiba-tiba sahaja dia terkenangkan arwah datuknya. Meskipun umurnya masih mentah, namun banyak cerita-cerita tentang kemerdekaan negara ini diketahuinya Semuanya dikutip dari datuknya yang suka berpanglipurlara. Sememangnya, dia anak yang cerdas tetapi telah mati rasa cinta. Bagaimana mungkin dia mengenal rasa cinta seandainya rasa benci dan dendam yang membara terisi di sudut hatinya?